‘Boleh beraya dulu… tunggu kita kuatkuasakan perlembagaan parti’

Oleh – Syeikh Baran


'Boleh beraya dulu... tunggu kita kuatkuasakan perlembagaan parti'
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NSTP.

“Mungkin mereka tidak faham ataupun sengaja nak cari alasan… nak menyedapkan diri mereka sendiri. Tunggu sahaja masa kita kuatkuasakan,” kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membuat pelbagai tafsiran susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti.



Menurutnya, kumpulan itu juga mungkin tidak menyangka pindaan diluluskan atau terkejut dengan penguatkuasaannya yang akan memberi kesan kepada mereka.

“(Jadi) Tunggu sahaja masa yang sesuai supaya apa yang telah kita laksanakan dalam pindaan ini akan kita kuatkuasakan.

“Diharapkan dengan begitu, maka kerusi-kerusi yang terlibat itu nanti akan terkosong kerana dalam perlembagaan mengatakan apabila seseorang mengambil langkah sebegini (sokong Perdana Menteri), maka keahlian dalam parti itu terhenti.

“Maknanya tidak jadi ahli, maka kesannya ialah kerusi itu mestilah dikosongkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.



Sebelum ini, RoS meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dipinda selepas diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelulusan itu membolehkan parti mengambil langkah seterusnya, iaitu mengosongkan enam kerusi Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala pada 7 Mac lalu, seorang Adun Bersatu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.



Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pindaan ini akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat.

“Ini bulan puasa, tak apalah. Dia (mereka) boleh beraya dulu dan selepas itu kita akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan itu,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button