JDT mampu menyengat walau tanpa Safawi
MELAKA, 11 Okt — Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berupaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam saingan Piala Malaysia akan datang, meskipun tanpa kehadiran tonggak pasukan Muhammad Safawi Rasid.
Ia dibuktikan dengan kejayaan JDT menundukkan Melaka 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu.
Jurulatih skuad Harimau Selatan Benjamin Mora berkata dengan ketiadaan pemain berusia 23 tahun itu, ia juga memberi peluang kepada pemain lain untuk menyerlah dan membantu persiapan pasukan untuk aksi Piala Malaysia.
“JDT bukan mengenai seorang pemain sahaja. Kami semua sayangkan Safawi kerana dia seorang pemain yang hebat, berkeyakinan tinggi. Kami percaya ia adalah keputusan terbaik untuknya beraksi di luar negara dan kami di sini perlu teruskan permainan dan beraksi dalam satu pasukan.
“Seseorang bakal menggantikan tempatnya (Safawi) … kami dapat melihat bagaimana prestasi pemain malam tadi. Kami akan membuat perancangan untuk permainan dan sesi latihan berikutnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.
Mora berkata perancangan kali ini adalah untuk memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi ketika perlawanan sebelum ini sebagai langkah membina keyakinan untuk saingan Piala Malaysia akan datang.
Muhammad Safawi yang juga pemain kelahiran Dungun, Terengganu berlepas ke Portugal 3 Okt lepas, bagi melengkapkan perpindahannya secara pinjaman selama satu musim ke pasukan liga utama negara itu, Portimonense SC.
Pada aksi di Stadium Hang Jebat pada Sabtu malam, JDT memperolehi gol menerusi dua jaringan pemain import Leandro Velazquez yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 dan masa tambahan, diikuti jaringan Syafiq Ahmad (minit ke-75), Aidil Zafuan Abd Razak (minit ke-79), dan Fernando Ortega (minit ke-85).
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka Zainal Abidin Hassan mengakui kecewa dengan keputusan perlawanan yang dicatat pasukan bimbingannya itu walaupun pada awalnya Melaka mampu bertahan tanpa dibolosi pada separuh masa pertama.