Raisuddin Hamzah merindui arwah anaknya, Siti Sarah

 

Oleh Razak Hasan

Raisuddin Hamzah merindui arwah anaknya, Siti Sarah
Raisuddin Hamzah merindui arwah anaknya, Siti Sarah

Tiga tahun berlalu, kehadiran Syawal menggandakan kerinduan pelakon dan penyanyi, Raisuddin Hamzah terhadap anaknya, Allahyarham Siti Sarah.

Kata bapa kepada tiga anak itu, kasih sayang serta perasaan rindu kepada puteri tunggalnya yang telah pergi terus dirasai sehingga ke akhir hayat.



“Anakku, yang aku kasihi, yang selalu kucintai, yang setiap saat dirindu.

“Anakku, kasih ini takkan hilang, cinta ini takkan pergi, rindu ini akan kekal hingga abadi,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Hantaran berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut menzahirkan rasa sayu atas tiga tahun selepas pemergian Allahyarham.

“Bila seorang ayah sedang merindui satu-satunya anak perempuan yang cantik dan baik hati. Al-Fatihah,” tulis seorang netizen.

“Istimewa sungguh insan yang bernama Siti Sarah Raisuddin. Sampai sekarang kami yang tiada pertalian pun masih menitiskan air mata dengan pemergian arwah,” kata seorang peminat lain.



Siti Sarah yang mendirikan rumah tangga dengan pelawak dan usahawan, Shuib meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.

Lebih menyayat hati, penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir selepas melahirkan anak keempatnya, Ayash Affan yang kini berusia tiga tahun.

Selain Ayash, pasangan terbabit turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita, 10 dan Ariq Matin, 7.

Selepas dua tahun bergelar duda, Shuib bertemu jodoh buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah pada 23 Jun tahun lalu. – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button