Ketua Hamas tidak tergugat atau gentar
Oleh – Syeikh Baran
Pemimpin paling kanan Hamas, Ismail Haniyeh, yang kehilangan tiga anaknya dan empat cucu dalam serangan Israel semalam, menegaskan ia tidak melemahkan tekad pergerakan itu dalam perjuangan menentang Israel.
“Ini tidak akan melemahkan kedudukan Hamas di meja rundingan mahupun menggugat perang kita melawan Israel,” katanya yang mengetuai biro politik Hamas dari buangan dan juga antara pemimpin paling kanan pergerakan itu.
“Musuh sedang berkhayal jika mereka fikir dengan membunuh anak-anak saya, kami akan menukar kedudukan kami. Kami tidak akan mengalah, tidak kira berapa ramai yang terkorban,” katanya dalam satu kenyataan.
Tentera darat Israel sebahagian besarnya kini berundur dari Gaza, tetapi Israel terus melakukan serangan udara di seluruh wilayah serta melancarkan pertempuran di koridor di tengah Gaza di mana tentera Israel mengekalkan kehadiran.
Difahamkan, pengunduran itu mungkin hanya tindakan taktikal sebelum operasi darat dimulakan di Rafah, seperti mana dilakukan sebelum serangan darat di Khan Younis dan selatan Gaza.
Haniyeh, yang sekian lama bertukar kedudukan antara Qatar dan Turkiye, berkata 60 ahli keluarganya dibunuh oleh Israel sepanjang peperangan Israel-Palestin.
Pengkritik Hamas, termasuk beberapa warga Palestin, menuduh kepimpinan pertubuhan itu menjalani gaya hidup mewah di luar negara berbanding penduduk di Gaza mengalami krisis kemanusiaan yang teruk.
Haniyeh semalam menyatakan kehilangan anggota keluarganya itu hanyalah pengorbanan kecil dalam konteks penderitaan Palestin yang lebih luas.
“Semua anggota keluarga besar rakyat Palestin terutama penduduk Gaza, melakukan pengorbanan. Perjuangan mendapatkan kebebasan kami dibayar dengan darah dan nyawa anak-anak kami,” katanya.
Haniyeh tidak menyatakan peranan anak-anaknya dalam Hamas tetapi menyifatkan kematian mereka sebagai syahid, menurut kenyataannya di akaun Telegram rasmi kumpulan itu.
Menurut maklumat sumber, mereka kekal di Gaza semasa beliau mengetuai biro politik Hamas dari buangan dan difahamkan turut aktif dalam pergerakan itu.
Apabila mengesahkan serangan ke atas tiga anak lelaki dewasa Haniyeh yang dinamakan sebagai Amir, Mohammad dan Hazem Haniyeh, tentera Israel berkata ketiga-tiga mereka adalah anggota tentera Hamas.
Dalam temu bual dengan Al Jazeera, Haniyeh berkata anaknya terbunuh apabila kenderaan yang mereka naiki diserang tentera Israel ketika berada di kem pelarian Al-Shati di Gaza.
Serangan itu dilakukan pada hari pertama Aidilfitri, menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.
Pembunuhan ahli keluarga Haniyeh berlaku ketika Israel terus mengancam untuk memulakan serangan di bandar selatan, Rafah, ketika kedua-dua pihak sedang mempertimbangkan cadangan gencatan senjata baharu. – AGENSI
Sumber – BERITA HARIAN