Tidak semua dapat dan siapa cepat dia dapat – Khairul Helmi
Oleh Razak Hasan
Pemain Kelantan FC, Khairul Helmi Johari mendedahkan tidak semua pemain mendapat RM1,000 daripada pemilik pasukan, Norizam Tukiman sebagai wang pendahuluan bagi melunaskan tunggakan gaji tiga bulan secara beransur-ansur.
Berkongsi perkembangan itu menerusi akaun Facebooknya, bekas pertahanan Kedah itu mendakwa hanya 20 pemain menerima wang terbabit dan lebih menyedihkan, ia diagihkan dengan konsep ‘siapa cepat dia dapat.’
“Tu pun 20 org je dapat… sapa cepat pulak tu… kena bersyukur pulak tu… saya tak dapat pun,” kata Khairul Helmi.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran yang turut menampilkan berita mengenai Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu memberikan RM1,000 kepada pemain sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan Norizam tetap berusaha menyelesaikan tunggakan gaji tiga bulan yang dihadapi pasukan itu apabila mengambil pendekatan melangsaikan ‘hutang’ itu secara beransur-ansur.
Menerusi satu penjelasan di laman TikToknya semalam, Norizam mengesahkan gaji pemain sudah dibayar beransur-ansur dan beliau optimis isu terbabit akan dapat diselesaikan.
“Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya,” katanya yang memaklumkan video itu dirakam sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Sebagai rekod, Kelantan FC yang ditendang keluar dari Liga Super susulan kegagalan mendapat lesen kebangsaan akan terus berentap dalam saingan Liga M3 bagi musim 2024/25.
Sementara itu, usaha BH Sukan untuk mendapatkan komen Norizam mengenai dakwaan Khairul Helmi gagal apabila pemilik Kelantan FC itu tidak menjawab panggilan dan mesej WhatsApp. – Berita Harian