Zii Jia dibayar untuk menyarung jersi negara

 

Oleh Razak Hasan

Zii Jia dibayar untuk menyarung jersi negara
Zii Jia akan menerima bayaran sepanjang beraksi pada saingan Piala Thomas hujung bulan ini

Lee Zii Jia menjadi pemain profesional pertama Malaysia yang akan menerima bayaran pampasan bagi menyarung jersi negara dalam kejohanan utama.

Pemain perseorangan lelaki yang menghuni ranking ke-11 dunia itu akan menerima bayaran untuk setiap perlawanan disertainya sepanjang kempen Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.



Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai, hari ini tetapi tidak mendedahkan jumlah bayaran yang dibayar kepada Zii Jia.

Menurut Michelle, perbincangan bersama Team LZJ mengambil sedikit masa yang menjadi antara faktor kelewatan untuk menyenaraikannya dalam skuad negara ke Chengdu.

Katanya, meskipun ia tidak pernah dilakukan sebelum ini tetapi BAM perlu mengambil langkah berani itu dalam usaha membentuk pasukan mantap bagi mencabar kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir dimenangi pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Zii Jia adalah pemain yang ditaja oleh Victor iaitu pesaing kepada Yonex yang menjadi salah satu penaja utama kepada BAM.



“Ia bukan soal Zii Jia bermain untuk negara atau tidak, tetapi lebih kepada jumlah pampasan yang diperlukan untuk dia memakai jersi kebangsaan.

“Jersi kebangsaan ditaja penaja kami (Yonex), disebabkan dia bukan sebahagian daripada BAM, saya fikir ia adil untuknya.

“Zii Jia mendapat manfaat sebelum ini, tetapi sekarang dia bukan sebahagian daripadanya, kami terpaksa mengambil sedikit masa untuk mencapai persetujuan berhubung jumlah yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.

“Ia sesuatu yang baharu untuk kami, kami berdepan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia sedikit berbeza daripada Datuk Lee Chong Wei walaupun dia bersama Yonex ketika pasukan kebangsaan ditaja oleh Victor.



“Chong Wei masih pemain kami ketika itu. Selain itu, bagi Zii Jia, dia adalah pemain pertama yang meninggalkan BAM pada kemuncaknya prestasinya.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi Piala Thomas. Kami tidak pergi hanya untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Selepas 32 tahun, negara berharap untuk kembali menjuarai Piala Thomas. Seperti Tan Sri (Mohamad Norza Zakaria), presiden BAM jelaskan, kami memerlukan semua pemain terbaik dalam pasukan,” katanya.

Sebelum ini, Zii Jia melalui pengurusnya, Lee Zii Yii dan jurulatihnya, Wong Tat Meng memberi bayangan kemungkinan besar tidak akan menyertai skuad negara untuk saingan Piala Thomas bagi memberikan fokus terhadap persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.



Bagaimanapun, BAM dalam satu kenyataan, hari ini mengesahkan penyertaan Zii Jia dalam skuad Piala Thomas kali ini bersama Ng Tze Yong, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, cabaran negara akan diketuai pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button