Izzue beri amaran tidak pergunakan namanya
Oleh Razak Hasan
Pelakon dan penyanyi Izzue Islam memberi amaran kepada mana-mana pengguna media sosial agar tidak menggunakan namanya demi meraih keuntungan terutamanya melibatkan produk kehamilan.
Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan, 34, berkata, dia tidak mahu pengguna terpedaya apabila membeli sesuatu produk yang tidak diketahui tahap keselamatannya.
Lebih buruk, dia tidak mahu ada pihak menyalahkan dia kerana mungkin ada di antara pengguna membuat pembelian kerana melihat penjual menggunakan wajahnya.
Izzue sentiasa berterima kasih atas doa untuknya memiliki cahaya mata.
“Orang guna nama saya kononnya isteri hamil apabila mengamalkan sesuatu produk sedangkan ia tidak benar. Tak elok buat begitu kerana mungkin ramai akan terpedaya.
“Saya juga takut produk yang dijual itu berisiko. Jadi janganlah putar belit untuk mencari rezeki.
“Saya nasihatkan janganlah guna nama saya untuk tujuan sebegitu kerana mereka sengaja mahu ambil kesempatan terhadap kami yang sememangnya menantikan cahaya mata,” katanya kepada mStar.
Menurut Izzue dia dan isterinya iaitu Awin Nurin sudah banyak kali terlihat pautan jualan di media sosial yang kononnya mereka bakal menimang cahaya mata sedangkan cerita itu tidak benar.
Tambahnya kaedah jualan sebegini juga memberi impak apabila ramai mula bertanya serta mengucapkan tahniah kepada isteri.
“Kadang-kala penat juga nak jawab sehingga ada yang ucap tahniah dan tanya bila isteri bakal bersalin.
Izzue sedia terima tawaran kerja pada 1 Syawal.
“Namun jauh di sudut hati, kami terima semua itu sebagai doa. Mungkin pertanyaan mereka itu juga menjadi doa buat kami mendapat rezeki cahaya mata,” ujarnya.
Untuk rekod Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Sementara itu bercerita tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, seperti kebiasaan Izzue akan menyambut di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung halaman di Kelantan. – Mstar