Isteri diugut bunuh oleh suami

Oleh – Syeikh Baran


Isteri diugut bunuh oleh suami
Gambar Hiasan

Gara-gara cemburu dan dituduh mempunyai hubungan dengan lelaki lain, seorang wanita dicederakan dan diugut bunuh oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Baru Alai, di sini semalam.

Kejadian sekitar pukul 10.30 malam itu menyebabkan wanita berusia 36 tahun itu lebam di beberapa bahagian badan selain terdapat kesan lilin pada payudara kanan.



Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan seorang guru itu sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan suaminya yang bertindak menarik tangan mangsa ke belakang.

Mangsa yang cuba melepaskan diri kemudian diugut bunuh oleh suspek berusia 42 tahun itu menggunakan pisau di leher sekiranya dia enggan memberi kerjasama.

Suspek yang mengikat kedua-dua tangan isterinya menggunakan tali itu telah memaksa wanita terbabit mengaku mempunyai hubungan dengan lelaki lain, namun tuduhan itu dinafikan mangsa.

Selain mengoyakkan pakaian mangsa dan menarik rantai leher sehingga putus, lelaki itu turut menitiskan cecair lilin pada payudara wanita tersebut dan mengugut akan membakarnya dan rumah mereka jika isterinya masih enggan mengaku.



Wanita itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri apabila memberitahu dia ingin ke bilik air sebelum segera keluar dari rumah dan melarikan diri dengan menaiki kereta.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Lalang pada pukul 1.32 pagi, hari ini.

Difahamkan, punca kejadian disebabkan cemburu di mana suspek tidak membenarkan isterinya menghubungi mana-mana lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button