Puteri Sarah mengamuk
Oleh Razak Hasan
Tidak mampu menahan sabar selepas berulang kali diprovokasi, pelakon Puteri Sarah mendedahkan wajah individu yang didakwa kerap menghantar mesej peribadi (DM) berbaur hinaan dalam laman sosial miliknya.
Ujar Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, lebih kurang ajar apabila lelaki sama meninggalkan komen dalam hantaran Instagram melabel dirinya dan rakan artis, Bella Astillah sebagai ‘geng secondhand’.
Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui berang berdepan sikap manusia yang pada luarannya tampak baik dan kerap berkongsi perkara positif, namun hakikatnya biadab.
“Siapa orang munafik bodoh ini? Bukan main komen dekat Instagram aku. Sudah letak muka dia, tiba-tiba profile semua hilang.
“Bila tweet, bukan main nampak baik tapi munafik,” kongsinya dalam platform X.
Pada masa sama, Puteri Sarah yang meraih pelbagai komen sebaik berkongsi ciapan foto individu dimaksudkan turut menyatakan semua akaun media sosialnya telah disekat lelaki terbabit.
Susulan itu, dia menyelar sikap pengecut ditunjukkan individu berkenaan yang disifatkan sebagai berani baling batu sembunyi tangan.
“Bukan main kau komen hina aku dengan Bella Astillah. Dekat sini, pengecut pula.
“Sebenarnya banyak sahaja jantan sakit mental penuh dekat komen Instagram itu tapi yang ini macam tak tahu nak berhenti.
“Kenapa block aku?,” katanya lagi.
Berdasarkan semakan, kemarahan Puteri Sarah berpunca dengan komen jahat individu terbabit dalam hantaran video trend ‘Alamak Raya’ bersama Bella dan adiknya Didi Astillah.
Pada masa sama, Puteri Sarah turut menerima saranan netizen agar membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).- KOSMO! ONLINE