Jagalah tepi kain sendiri – Faye Kusairi
Oleh Razak Hasan
Rumah tangga didakwa berdepan krisis gara-gara jarang berkongsi gambar suami, pelakon Faye Kusairi tampil menepis segala tuduhan tidak berasas itu.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 37, berkata, semua spekulasi dicanang netizen merupakan fitnah selain menegaskan hubungan dengan suami yang juga pengarah Azmi Hatta, baik-baik sahaja.
“Terpaksalah muat naik gambar bersama suami.
“Bukan apa, ramai risau sangat fasal rumah tangga aku ini sampai sanggup memfitnah.
“Relaks guys, aku ini memang sejenis kurang minat nak kongsi apa-apa sejak berusia ini,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram
Enggan perihal dalam kain terus digali, Faye menasihati segelintir pemerhati agar memberi fokus kepada kehidupan sendiri selain tidak sibuk menjaga hal peribadi orang lain.
“Jagalah tepi kain sendiri, bertutur dan berpendapatlah tentang perkara positif dan bermanfaat.
“Anda sepatutnya fokus untuk menjadikan kehidupan anda lebih baik daripada membandingkan dengan hidup orang lain,” tegasnya.
Sering dikecam dan difitnah, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu mengakui sudah tidak berminat menggunakan media sosial berikutan sikap segelintir netizen yang terlalu toksik.
“Aku berniaga nasi ayam tepi jalan pun kena fitnah macam-macam, aku tak muat naik gambar dengan suami pun kena fitnah.
“Aku ‘shooting’ ke tak berlakon pun kena fitnah.
“Jujur cakap, sikap aneh seperti inilah asbab aku makin malas nak muat naik atau layan media sosial sebenarnya. Penat, macam tak fun pun ada,” ujarnya.
Faye dan Azmi mendirikan rumah tangga pada 9 April 2017 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.