Duit raya satu sedekah, bukannya nafkah – Diana Danielle
Oleh Razak Hasan
Melihat ramai yang merungut, pelakon Diana Danielle menyelar sikap segelintir individu yang tidak bersyukur dengan jumlah duit raya yang diterima mereka.
Bagi Diana, 33, duit raya disifatkan sebagai satu bentuk sedekah dan bukan menjadi kewajipan kepada mana-mana individu pada hari lebaran.
“Sekarang ini orang tak faham ke bahawa duit raya itu bukan wajib tetapi merupakan bentuk sedekah mengikut keikhlasan hati dan kemampuan seseorang.
“Seringgit atau seratus ringgit, nikmati sahajalah suasana perasaan ini. Hendak rasa berlagak dan judge (hakimi) sangat dah kenapa,” katanya dalam aplikasi X baru-baru ini.
Dia yang juga penyanyi turut berpendapat bahawa pemberian duit raya bukan satu bentuk keperluan dan tidak sepatutnya dijadikan isu pada hari raya.
“Sehingga ada yang kata ‘kalau banyak ini, baik tak perlu bagi’. Apa, ingat nafkah ke?
“Bertenanglah,, saya pun pernah dapat RM10 daripada pak cik saya dan ketika itu hati terasa berbunga-bunga.
“Faham tak berseronok? Ini kerja asyik tak puas hati sahaja,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE