Harimau Muda longlai di perlawanan pertama

 

Oleh Razak Hasan

Harimau Muda longlai di perlawanan pertama
Kapten skuad B-23 negara, Mukhairi Ajmal cuba untuk mengasak pemain Uzbekistan pada aksi pertama Kumpulan D sebentar tadi.

Misi skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan untuk melakar kejutan tidak kesampaian selepas tewas 0-2 pada aksi pertama Kumpulan D saingan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Khalifa, Doha sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad negara kendalian Juan Torres Garrido membariskan kesebelasan terbaik dengan trio serangan diketuai oleh Fergus Tierney, Luqman Hakim Shamsudin dan Aliff Izwan Yuslan.



Pasukan muda Harimau Malaya terlebih dahulu menguji benteng pertahanan jaguh Asia Tengah itu dengan Luqman seawal minit pertama sedikit tersasar.

Luqman yang kini bersama kelab Jepun, Yokohama SCC memiliki peluang keemasan kedua berselang tiga minit kemudian tetapi gagal menyudahkan hantaran Aliff Izwan ketika pintu gol sudah terbuka dengan pertahanan Uzbekistan berjaya melakukan terjahan sempurna.

Tersentak dengan serangan Malaysia, giliran Uzbekistan pula melakukan serangan dan berjaya mendahului hasil sepakan penalti yang disudahkan oleh kapten, Jasurbek Jaloliddinov pad minit ke-11.

Bersambung pada separuh masa kedua, skuad negara berusaha untuk bangkit tetapi gagal mencari ruang dan peluang untuk menguji kubu juara edisi 2018 itu.



Kealpaan benteng pertahanan negara sekali lagi dihukum apabila Uzbekistan melebarkan kelebihan dengan kini giliran Ulugbek Khoshimov mencetak nama selaku penjaring dengan gol kedua pada minit ke-83.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan skuad negara dijadualkan bertemu Vietnam pada Sabtu depan.

Dua pasukan teratas bakal layak ke peringkat suku akhir Piala Asia B-23 sekali gus mencerahkan peluang untuk meraih tiket automatik ke temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Julai depan. – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button