Pemimpin Bersatu ingatkan DAP jangan ‘berlagak baik’
Oleh – Syeikh Baran
Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan agar DAP agar jangan ‘berlagak baik’ sehingga memberi amaran kepada pengamal media agar mengelak membuat laporan yang mensensasikan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, parti tersebut yang sepatutnya konsisten mengelak memprovokasi isu 3R di negara ini.
Razali berkata demikian membidas kenyataan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming yang meminta pengamal media memainkan peranan semak dan imbang serta mengelak daripada mensensasikan isu 3R.
Beliau mendakwa, banyak contoh-contoh perkara 3R yang diprovokasi parti DAP dan dilaporkan dalam pelbagai platform media.
“Bukti sangat jelas, malahan parti ini umpama mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katabya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Terdahulu, Kor Ming mendakwa isu 3R yang kerap dimainkan media sama ada konvensional dan elektronik, hanya akan menguntungkan segelintir pihak yang disifatkannya sebagai ‘parasit’ dan ‘ulat politik.’
Pengerusi DAP Perak itu mendakwa, persepsi rakyat diakui banyak dipengaruhi oleh pemberitaan, justeru laporan yang mensensasikan isu 3R dianggap akan merugikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Mengulas perkara tersebut, Razali turut menyifatkan kenyataan Kor Ming sebagai cubaan campur tangan dan memperlekehkan kredibiliti tugas pengamal media.
“DAP yang sebenarnya ‘parasit’ dan ‘ulat politik’ yang merugikan kemakmuran rakyat yang seharusnya dibina dengan baik. Sudah menjadi kerajaan pun berperangai pembangkang.
“DAP yang sebenarnya seolah-olah parti yang tidak membina sahsiah pembangunan insaniah. Sebenar-benarnya DAP umpama musang berbulu ayam,” katanya.
Sumber – SINAR HARIAN