Wanita simbah air panas dipenjara 10 tahun, denda RM6,000
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda RM6,000 terhadap wanita yang menyimbah air panas ke arah pemuda orang kelainan upaya (OKU) Sindrom Down, Jumaat lalu.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Oo Saw Kee ,39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Ketika prosiding, Ahzal Fariz berkata, setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati perbuatan tertuduh adalah satu kesalahan kejam dan tidak berperkemanusiaan.
“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat bahawa ia satu perbuatan kejam, tambahan pula tidak ada provokasi daripada mangsa. Mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi tertuduh.
“Tujuan hukuman ini bukan sahaja untuk memberi peringatan kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan ini kepada mana-mana OKU.
“Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 terhadap tertuduh, jika gagal membayar denda tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan,” katanya di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas A.Solairaj, 33, dengan menyimbah air panas ke arahnya di dalam lif sebuah pangsapuri, di Bayan Lepas, kira-kira pukul 9.24 pagi, pada 19 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Noodin Ismail memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat kepada tertuduh memandangkan perbuatannya menyimbah air kepada mangsa adalah satu perbuatan yang serius.
“Mangsa masih dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu serta leher, dan doktor perlu mencuci luka melecur ini. Bayangkan air panas terkena di bahagian badan.
“Oleh itu, hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh mesti memberi impak, tambahan pula mangsa akan mengalami kesedihan dan juga kecacatan kekal kesan simbahan air panas ini,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE