Ikrar tuala, lampu tapi seludup rokok, arak
Oleh – Syeikh Baran
Taktik sindiket penyeludupan rokok dan arak ikrar barangan dibawa sebagai tuala dan lampu halaman tidak berhasil apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Sindiket itu yang cuba membawa masuk barangan seludup bernilai RM1.5 juta termasuk cukai dan duti melalui kontena di Pelabuhan Klang, Selangor itu terbongkar hasil pemeriksaan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) pada 21 Mac dan 2 April lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata, dalam serbuan pada 4.40 petang, 2 April lalu memeriksa sebuah kontena disyaki tidak berkastam.
“Hasil pemeriksaan menemui 864,000 batang rokok putih diletakkan dalam bekas lampu laman bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan.
“Kesemua rokok dirampas itu dianggarkan bernilai RM864,000 dengan jumlah cukai serta duti dianggarkan RM656,640,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM di sini, hari ini.
Menurut Norlela, siasatan dijalankan mendapati kontena berkenaan disyaki tidak berkastam yang mana pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai.
Katanya, berdasarkan maklumat dalam ‘Bill of Lading’, dagangan diikrarkan sebagai lampu laman dari negara jiran namun wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, JKDM turut menggagalkan cubaan membawa masuk minuman keras di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 9.15 malam, 21 Mac lalu.
“Pemeriksaan rapi sebuah kontena menemukan 4,030 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM21,000 dan jumlah cukai serta duti dianggarkan RM51,610.
“Modus operandi yang digunakan adalah membuat ikrar tidak benar iaitu menyatakan barangan sebagai tuala.
“Namun tuala dan beberapa barangan lain diletakkan di hadapan kontena, sebaliknya minuman keras tanpa cukai disorokkan di bahagian belakang kontena,” katanya.
Kata beliau, kes terbabit masih dalam siasatan termasuk mengesan dalang utama.
Sumber – HARIAN METRO