Calon Kerajaan Perpaduan, PN bertembung di pasar pagi
Oleh – Syeikh Baran
Hari kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menyaksikan calon Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan (PH) bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN) ketika memulakan kempen di pasar pagi Batang Kali, di sini pagi ini.
Pang Sock Tao yang mewakili PH daripada DAP ditemani Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan tiba di sini seawal pukul 8 pagi tadi.
Khairul Azhari Saut (PN) bersama Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd. Hasnizan Harun yang turut memulakan kempen di tempat sama hadir 30 minit selepas itu.
Sementara itu, seorang peniaga minyak wangi Kasturi Kijang, Musa Rahman berkata, dia berharap agar kesemua calon dapat bertanding secara adil.
“Kita harap calon yang dipilih dapat menunaikan janji mereka sekiranya dipilih selain dapat membawa pembaharuan di Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Selain itu, seorang peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Mat berpandangan bahawa wakil rakyat baharu bagi DUN tersebut haruslah merupakan anak tempatan.
“Kalau boleh, biar orang sini jadi wakil rakyat. Senang kita nak berurusan untuk dapatkan bantuan dan sebagainya,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga buah-buahan, Mohd. Sabri Latiff berkata, seseorang wakil rakyat perlu mempunyai pengalaman yang cukup dan berpandangan jauh.
“Bagi saya, saya akan undi calon yang ada intelektual yang tinggi supaya Kuala Kubu Baharu dapat dibangunkan lebih maju pada masa hadapan,” jelasnya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sock Tao, Khairul Azhari dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) serta calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei depan, manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sumber – KOSMO! ONLINE