Empat suspek baling bom petrol pada pusat hiburan dicekup

Oleh – Syeikh Baran


Empat suspek baling bom petrol pada pusat hiburan dicekup
Tangkap layar video tular kejadian baling bom ptrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Sen, Kuala Lumpur, awal pagi Rabu lalu.

Polis menahan dua lagi suspek dipercayai terbabit kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, awal pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihaknya telah menahan empat suspek berusia 25 hingga 28 tahun.



“Dua tangkapan baru telah dilakukan pada awal pagi tadi menjadikan keseluruhan tangkapan seramai empat orang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kesemua tangkapan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihaknya masih menyiasat motif suspek membaling bom petrol pada pusat hiburan berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan berkenaan.



Rentetan itu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 25 tahun di sebuah rumah sekitar ibu negara,kelmarin bagi membantu siasatan berkaitan kes kebakaran berkenaan.

Dalam pada itu, Rusdi turut menafikan kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan sebarang unsur ekstremisme.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button