DUN Johor tergendala, Speaker minta tingkat keselamatan
Oleh – Syeikh Baran
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta kawalan keselamatan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung di Bangunan Sultan Ismail dipertingkatkan.
Ia susulan, sidang DUN tergendala hampir 20 minit akibat gangguan teknikal dan elektrik selepas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selesai menjawab soalan pertama pada pagi Isnin sekali gus dikhuatiri ada cubaan ceroboh dan sabotaj.
“Insiden ini cukup memalukan hingga sidang dewan yang sedang bersidang terpaksa ditangguhkan.
“Saya harap pengurusan dewan sentiasa peka. Saya tidak mahu dengar sebarang alasan. Kita mesti ada mentaliti dan fasiliti kelas pertama.
“Saya mohon maaf kepada semua Yang Berhormat kerana terpaksa tangguhkan dewan sementara tadi,” katanya ketika dewan bersambung semula.
Onn Hafiz yang kemudiannya diminta menyambung sesi soalan lisannya turut menyatakan seolah-olah ada unsur sabotaj.
Ini kerana gangguan teknikal itu berlaku selepas beliau selesai menjawab isu panas berkaitan kasino di Forest City.
Sejurus itu, Mohd Puad meminta pengurusan dewan serta-merta mempertingkatkan kawalan keselamatan di premis Bangunan Sultan Ismail.
“Saya harap soal keselamatan dewan dipertingkatkan. Saya juga bimbang ada cubaan menceroboh dan sabotaj,” katanya.
Sumber – SINAR HARIAN