Tuan lori cantik Kelantan rentung

Oleh – Syeikh Baran


Tuan lori cantik Kelantan rentung
LORI mangsa (kiri) yang sempat dirakam sebelum terbakar selepas terlibat kemalangan di laluan Lingkaran Tengah Utama di Bentong semalam.

Seorang lelaki rentung selepas lori yang dinaiki terbakar setelah merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di bahu jalan berhampiran Bulatan Mempaga laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu mangsa, Mohd. Ghazi Abdul Razab, 53, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan.



Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 4.44 pagi dan mendapati sebuah lori terbakar selepas melanggar belakang sebuah treler di bahu jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan lori tersebut terbakar 100 peratus dan pemeriksaan menemui satu mangsa dalam keadaan rentung, manakala seorang lagi yang juga pemandu mengalami kecederaan.

“Lori treler pula terbakar di bahagian belakang dan pemandunya selamat,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.



Ismail berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengawal kebakaran pada pukul 6.03 pagi.

“Pemandaman api dibuat menggunakan dua aliran hos salur dari tangki pam jentera bomba,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Norsyahirah Mohd. Ghazi, 24, berkata, dia tidak menyangka permintaan bapanya agar dia membantu merakam video lori tersebut yang berada di rumah di Peringat di sini kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin merupakan permintaan terakhirnya.

Menurutnya, bapa bersama kelindannya kemudiannya bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghantar barang pada pukul 11 malam.



“Arwah tidak pernah menyuruh saya membantunya merakam video atau lebih-lebih lagi memuat naik video lorinya di status WhatsApp.

“Malam tadi (kelmarin), dia bersungguh-sungguh meminta saya berbuat demikian. Dia tidak pernah meminta bantuan saya atau keluarga untuk merakam video lorinya itu meskipun kenderaan tersebut pernah menerima hadiah juara lori tercantik di Kelantan baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Norsyahirah memberitahu, selepas bapanya bertolak ke ibu negara, dia menerima panggilan telefon daripada adik bongsu, Mohd. Mikail Hakim, 19, kira-kira pukul 5.22 pagi.

Menurutnya, Mohd. Mikail ketika itu sedang dalam perjalanan ke Kedah dan terpaksa berpatah balik sebaik menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.



Katanya, jenazah bapanya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Kampung Kuchelong, Bachok semalam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button