Motosikal terbabas, warga emas maut jatuh jejambat

Oleh – Syeikh Baran


Motosikal terbabas, warga emas maut jatuh jejambat
LOKASI kemalangan membabitkan seorang warga emas. FOTO Ihsan Pembaca

Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari jejambat setinggi lebih lima meter (m) dalam kemalangan di Kilometer 10.1 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, mangsa warga tempatan berusia lingkungan 60-an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.



Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kemalangan itu hanya membabitkan motosikal yang penunggangnya dipercayai terbabas sendiri.

“Hasil siasatan awal, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dari arah Seberang Jaya menghala Kubang Semang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal terbabas lalu melanggar penghadang besi sebelum terjatuh ke bawah jejambat,” katanya dalam kenyataannya malam ini.

Katanya, mangsa dibawa HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.



“Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button