Pertemuan PM, pemimpin Hamas serlah keberanian Malaysia

Oleh – Syeikh Baran


Pertemuan PM, pemimpin Hamas serlah keberanian Malaysia
Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin politik tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh. – Foto Bernama

Perjumpaan Perdana Menteri dengan dua tokoh penting Hamas, iaitu Ketua Biro Politiknya, Ismail Haniyeh diiringi bekas ketua pergerakan itu, Khaled Masyal tidak keterlaluan boleh dianggap lebih penting atau setidak-tidaknya sama pentingnya dengan pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani.

Kesanggupan Perdana Menteri bertemu dua tokoh yang pastinya menduduki senarai teratas orang dikehendaki rejim Zionis itu, membuktikan Malaysia bukan hanya berani bercakap ketika memperjuangkan hak Palestin serta mengecam keganasan Israel khususnya serangan genosid terhadap Gaza.



Malah, ia ibarat ‘berani menjual berani membeli, berani pegang berani tanggung’ kerana Israel bukan hanya melakukan jenayah perang di Gaza, bahkan mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk mengebom kedutaan Iran di Damsyik yang terang-terangan melanggar Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik.

Apatah lagi, pertemuan itu berlaku kurang seminggu selepas Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson mengadakan kunjungan ke Malaysia dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya, pengelakan sekatan terhadap Russia dan lebih signifikan lagi dengan dakwaan peningkatan dalam wang dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan tanah air.

Bagaimanapun, hubungan Malaysia dengan Palestin melangkaui kepentingan geopolitik AS, malah negara tidak memilih bulu antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Hamas yang masing-masing menguasai Tebing Barat serta Gaza.

Hakikatnya, ketegasan dan keberanian Malaysia seperti ditunjukkan Perdana Menteri perlu dicontohi negara Islam lain dan membantu usaha membela hak serta nasib warga Gaza yang kini kehilangan lebih 35,000 nyawa majoritinya wanita dan kanak-kanak termasuk apa diusahakan Qatar sebagai mediator utama antara Israel dengan Palestin.



Malah, kita mahu semua terutama 142 negara lain yang mengundi menyokong resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu, terus memberikan tekanan kepada Israel hingga meminggir serta memulaukan rejim itu sampai pada tahap menjadi ‘negara jijik’.

Ini juga bertepatan dengan syarahan umum Perdana Menteri di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa, semalam yang menegaskan pemimpin dunia Islam perlu menggembleng kudrat berdepan cabaran dan kesengsaraan dalam era pascanormal terutama berkait isu Islamofobia, diskriminasi dan hipokrasi kuasa besar dunia khasnya dalam isu Gaza serta Palestin.

Kita yakin dengan kesatuan masyarakat dunia tidak kira sama ada negara Islam atau bukan Islam, kerajaan atau orang awam, malah mahasiswa dan ahli akademik seperti protes antiperang serta anti-Zionisme yang sedang berlangsung di universiti berprestij di seluruh dunia termasuk di AS bukan sahaja dapat memberikan genjatan senjata di Gaza, bahkan keamanan dan hak negara merdeka serta berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Palestin.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button