Tiga remaja hilang di Ranau ditemui di Sandakan
Oleh – Syeikh Baran
Tiga remaja perempuan di Ranau yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu sudah ‘ditemui’ selepas seorang daripada mereka dikatakan menghubungi keluarga petang tadi.
Remaja terbabit, Valensia Mail, 15; Roxanne Abbygail Richard, 13 dan Christivy Holyen Hamdy, 13 dilaporkan keluar dari rumah mereka di Kampung Kaingaran pada 5.30 petang untuk mengikuti latihan silat di SMK Ulu Sugut, Ranau pada Jumaat.
Sejak itu, ketiga-tiga mereka dikatakan tidak pulang ke rumah dan membuat laporan polis pada malam Isnin.
Ketua Polis Dearah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan ketiga-tiga remaja terbabit di Sandakan.
Katanya, remaja terbabit akan dibawa balik ke Ranau untuk proses soal siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Dalam kenyataan sebelum ini, Simiun berkata, polis menerima laporan kehilangan seorang daripada keluarga remaja terbabit pada jam 8.48 malam.
Siasatan awal katanya mendapati ketiga-tiga remaja itu dilihat kali terakhir oleh orang ramai pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam di pekan Ranau.
Ketiga-tiga mereka dikatakan turun dari sebuah bas mini sebelum dijemput seorang lelaki yang kemudian membawa mereka menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.
Sumber – HARIAN METRO