Dua pegawai kanan seleweng dana pinjaman
Oleh – Syeikh Baran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan badan berkanun selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana peruntukan pinjaman Kementerian Kewangan bagi projek pembangunan bernilai RM1.2 bilion.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini ke atas dua suspek berusia dalam lingkungan 50-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman kerajaan dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang diterima daripada Kementerian Kewangan.
Katanya, ia dipindahkan kepada syarikat kontraktor dan perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan.
“Penyelewengan peruntukan itu amatlah serius memandangkan peruntukan berkenaan melibatkan dana daripada Kerajaan Malaysia ” katanya tadi.
Sementara itu,Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap dua suspek terlibat dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sumber – KOSMO! ONLINE