Penunggang motosikal maut langgar babi mati tengah jalan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang terlanggar beberapa ekor babi yang mati di tengah jalan di kilometer 15, Jalan Seremban – Kuala Pilah dekat Ulu Bendul, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 pagi, mangsa, Afmarzairy Bakhtiar Apandi, 42, yang bekerja sebagai penyelia syarikat penghantaran disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Asisten Superintenden Norazuan Said, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda ADV yang ditunggangi mangsa yang dalam perjalanan dari arah Senawang hendak menghala ke tempat kerja di Bahau.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa telah terlanggar beberapa ekor babi yang telah mati di tengah jalan akibat dilanggar oleh kenderaan lain.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi bedah siasat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sumber – KOSMO! ONLINE