Guna warga tempatan urus kilang sisa elektronik, gaji PATI
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah kilang kitar semula sisa elektronik atau e-waste di sini, yang didaftarkan kepada warga tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China digempur pada Khamis.
Serbuan hasil aduan awam itu bermula jam 1.30 petang itu dijalankan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya mengesyaki kilang terbabit beroperasi secara haram dan turut menggajikan warga asing dengan kemungkinan terdapatnya elemen eksploitasi pemerdagangan orang.
Menurutnya, seramai 35 warganegara asing telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan telah menahan seramai 33 warga asing berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun termasuk dua wanita yang kesemua membabitkan 28 warga Myanmar, tiga Kemboja serta dua China.
“Mereka ini bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Ruslin, pendatang asing tanpa izin (PATI) ini didapati tidak memiliki dokumen perjalanan semasa ditahan dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang yang disyaki merupakan warga China.
Jelas beliau, modus operandi kilang ini adalah memproses sisa e-waste yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.
“Berdasarkan invois yang ditemui, sisa e-waste yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu dan akan dipastikan boleh diproses serta disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warga China yang berkemahiran.
“Bagi mengaburi aktiviti ini, warga China tersebut akan beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini di mana hasil keuntungan dipercayai boleh mencecah sekitar RM300,000 hingga RM500,000,” ujarnya.
Ruslin berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mengesan pemilik kilang berdasarkan nombor pasport yang diperoleh termasuk pemilik lot tanah tersebut.
Tegasnya, JIM memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu, syarikat dan majikan yang terlibat dalam menggajikan PATI, amalan pekerja terabai dan membawa kepada elemen buruh paksa yang seterusnya membawa kepada isu eksploitasi.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sumber – SINAR HARIAN