Krisis kebuluran landa Gaza di tengah-tengah sekatan Israel berterusan

Oleh – Syeikh Baran


Krisis kebuluran landa Gaza di tengah-tengah sekatan Israel berterusan
Pintu masuk lintasan sempadan Kerem Shalom dikunci ketika operasi ketenteraan berterusan di selatan Gaza. – Foto REUTERS

Krisis kebuluran kembali menghantui Semenanjung Gaza susulan Israel menutup lintasan Rafah dan Kerem Shalom, menurut pejabat media Gaza semalam.

“Krisis keselamatan makanan juga semakin teruk di tengah dan selatan wilayah terkepung terutama selepas puluhan ribu orang dipindahkan dari bandar Rafah berikutan operasi ketenteraan Israel pada 6 Mei,” katanya.



Sehubungan itu ia menggesa penarikan tentera Israel dari lintasan Rafah di tengah-tengah bencana kemanusiaan yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza.

“Dalam perbincangan mengenai jeti, kami menekankan bahawa lintasan darat lebih berkesan untuk menyampaikan bantuan ke Semenanjung,” menurut kenyataan itu.

Penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan yang teruk akibat penutupan Israel ke atas lintasan Rafah untuk hari ke-11 dan lintasan Kerem Shalom untuk hari ke-13 berturut-turut, mendorong wilayah itu ke arah kebuluran, menurut amaran daripada pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.

Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera di kawasan itu.



Lebih 35,300 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 79,200 lagi cedera sejak Oktober lalu berikutan serangan Hamas.

Lebih tujuh bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas musnah di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang telah mengarahkan Tel Aviv untuk memastikan tenteranya tidak melakukan tindakan itu dan mengambil langkah untuk menjamin bahawa bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button