Peruncit Singapura terhimpit, ramai pilih belanja di luar negara
Oleh – Syeikh Baran
Pengukuhan dolar Singapura, peningkatan harga barang dan perkhidmatan serta kebenaran untuk melancong selepas pandemik COVID-19 antara faktor penduduk tempatan memilih berbelanja di luar negara.
Keadaan itu sekali gus memberi tekanan kepada sektor runcit di Singapura.
Persatuan Peruncit Singapura (SRA) berkata angka jualan pada April tidak menggalakkan, dengan kebanyakan peruncit melaporkan prestasi negatif berbanding bulan sama pada 2023.
Katanya, kemungkinan besar disebabkan oleh peningkatan dolar Singapura.
Portal berita The Straits Times melaporkan Singapura menggunakan kadar pertukaran sebagai alat dasar utamanya berbanding kadar faedah.
“Peningkatan nilai mata wang kami, digabungkan dengan pilihan warga Singapura untuk melancong, menyebabkan pengguna mencari alternatif lebih murah, terutamanya di Jepun, Korea Selatan dan Malaysia,” kata SRA.
Persatuan itu menyatakan rakyat Singapura menganggap lawatan sehari ke Johor Bahru sesuatu yang boleh dilakukan pada hujung minggu atau cuti umum, serta cenderung untuk membeli-belah dan mendapatkan perkhidmatan dandanan di sana kerana harganya lebih separuh berbanding di Kota Singa.
Contohnya, melakukan rawatan kuku seperti ‘manicure dan pedicure berharga $35 (RM108.50) di Johor, berbanding antara $80 (RM248) dan $120 (RM372) di Singapura.
“Mata wang lebih kukuh juga menggalakkan rakyat Singapura mengambil lebih banyak cuti dan mereka cenderung menyimpan pendapatan untuk berbelanja di luar negara, walaupun terdapat kos tambahan yang perlu ditanggung,” kata SRA.
Seorang warga Singapura, Allison Chew, 46, berkata dia melakukan perjalanan tiga hingga empat kali ke luar Singapura dalam tempoh setahun dan membeli barangan keperluan serta teknologi untuk dibawa pulang.
“Makan malam di Singapura semakin mahal dan yang lebih penting, ia tidak menawarkan pengalaman sama anda akan dapat apabila mengembara untuk memahami asal usul dan budayanya,” katanya.
Dia yang bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan itu berkata, bagi jumlah sama dibelanjakan untuk makan malam di Singapura, dia boleh pergi untuk lawatan hujung minggu di Asia Tenggara.
“Begitu juga, dolar untuk dolar, hidangan Eropah di Singapura boleh membelikan anda beberapa hidangan yang lebih baik di Eropah, jadi wang anda pergi lebih jauh,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN