‘Transporter’ bawa PATI maut, kereta terbabas rempuh pokok
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) maut selepas kereta yang dia pandu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 46 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, pemandu kereta jenis Proton Saga yang berusia 51 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa membawa empat PATI masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun sedang dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala keempat-empat PATI tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana warga asing terbabit gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.
Sumber – KOSMO! ONLINE