Isu SRA JAIM, Ab. Rauf akui sistem birokrasi perlu ditambah baik

Oleh – Syeikh Baran


Isu SRA JAIM, Ab. Rauf akui sistem birokrasi perlu ditambah baik
AB. RAUF menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang penerima pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian APC Zakat Melaka 2023 di Banda Hilir, Melaka. -Foto AMRAN MULUP

Kerajaan negeri akan memastikan kerenah birokrasi dalam pembelian peralatan pembelajaran termasuk meja dan kerusi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dihapuskan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, penambahbaikan perlu dilakukan segera agar tidak wujud lagi masalah sedemikian yang boleh menjejaskan sesi pembelajaran murid-murid.



Menurutnya, isu itu tidak sepatutnya berlaku kerana peruntukan bagi pembelian kerusi dan meja di SRA JAIM Ayer Merbau, Jasin dekat sini sudah diluluskan pada Disember lalu.

“Kita akan lihat bagaimana masalah satu kelas ini boleh terlepas, memandangkan ini adalah sekolah baharu yang telah siap 95 peratus daripada segi peralatan sekolah yang disediakan untuk 21 kelas.

“Jadi kerajaan negeri akan melihat dan memantau kaedah penambahbaikan yang akan dilakukan nanti agar tiada lagi masalah birokrasi berlaku selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan, masalah ketiadaan kerusi dan meja dihadapi 34 murid SRA JAIM Ayer Merbau yang sudah berlarutan hampir lima bulan berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.



Berhubung insiden itu, Ab. Rauf berkata, situasi itu boleh dimurnikan dengan memberikan jawapan yang bijaksana.

“Sepatutnya jawapan harus diberikan bukan dalam bentuk sindiran ataupun emosional kerana ini menyebabkan pandangan serong masyarakat kepada kedua-dua pihak terbabit,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button