Selesema burung ditemui di barat China ketika AS memerangi wabak lembu
Oleh – Syeikh Baran
Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China mengesahkan terdapat kes selesema burung dalam kalangan unggas liar di barat China, ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai wabak yang menjangkiti kumpulan lembu di Amerika Syarikat (AS).
Kementerian itu dalam satu notis di laman webnya mengesahkan dua daerah di wilayah Qinghai terdapat 275 kes influenza H5 di kalangan burung camar Pallas yang mati dan burung liar lain.
Kementerian turut menerima laporan mengenai kes itu daripada Pusat Kawalan Penyakit Haiwan China dan Makmal Rujukan Selesema Burung kebangsaan mengesahkan penemuan itu, menurut notis itu.
Wabak H5N1 dalam kalangan lembu tenusu di sekurang-kurangnya sembilan negeri AS sejak akhir Mac menimbulkan persoalan sama ada ia boleh merebak kepada manusia, namun tiada laporan mengenainya.
Susulan itu, AS mengumumkan pada 11 Mei lalu bahawa ia akan membelanjakan hampir AS$200 juta (RM937 juta) untuk memerangi wabak itu.
Berita mengenai wabak itu di China datang ketika badan pemerhati anti rasuah negara itu mengumumkan siasatan rasuah terhadap menteri pertanian. – REUTERS
Sumber – BERITA HARIAN