Khidmat GRO sejam RM80 terbongkar, 26 ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Khidmat GRO sejam RM80 terbongkar, 26 ditahan
Antara wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Kuala Rompin, Pahang dan Endau, Johor, kelmarin.

Seramai 26 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Kuala Rompin, Pahang dan Endau, Johor, kelmarin.

Serbuan itu dijalankan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman bermula pukul 8 malam.



Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebanyak 35 tangkapan dilakukan termasuk 26 GRO warga asing terdiri daripada 23 Vietnam, Laos (2), Thailand (1).

Katanya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun.

“Mengikut pecahan, serbuan pertama di Kuala Rompin (Pahang) telah menahan 18 individu iaitu seorang lelaki tempatan disyaki pengurus, seorang wanita Vietnam berperanan sebagai ‘mummy’ serta 16 GRO.

“Serbuan kedua di Endau pula menahan 10 GRO bersama seorang wanita Vietnam disyaki mummy, selain tangkapan penjaga premis yang juga lelaki tempatan dan lima pelanggan warga asing,” katanya hari ini.



Menurut Mohamad Farouk, siasatan awal mendapati mummy terbabit memainkan peranan sebagai orang tengah kepada pelanggan untuk mendapatkan khidmat GRO.

“Dipercayai tip atau bayaran yang dikenakan sebanyak RM80 untuk temani pelanggan berhibur atau berkaraoke,” katanya.

Kata beliau, ujian saringan air kencing juga dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan dan didapati 27 individu iaitu pekerja dan pelanggan positif dadah.

“Kesemua tangkapan masing-masing dibawa ke IPD Rompin dan IPD Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button