‘Perjuangan kami belum selesai” – keluarga Bella
Oleh – Syeikh Baran
“Kami bersyukur sangat apabila kes ini berjaya dipindahkan ke mahkamah tinggi. Perjuangan kami belum selesai,” itu reaksi kakak kepada Bella, Norhisham Samsusah, 36, selepas Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan kes bunuh adiknya dipindahkan ke Muar.
Norhisham yang hadir ke mahkamah bersama keluarga terdekat kelihatan tenang selepas keputusan memindahkan kes terbabit diputuskan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Menurutnya, selepas ini, dia sekeluarga akan mendapatkan perkembangan terkini berhubung tarikh sebutan dan juga hari perbicaraan melalui peguam dilantiknya.
“Inilah detik yang kami sekeluarga nanti-nantikan. Kami gembira walaupun pada mulanya ada rasa gementar menanti keputusan dibuat oleh mahkamah.
“Hari ini, saya diarahkan oleh keluarga untuk hadir mendengar prosiding ini dan ia amat menggembirakan kami,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat, hari ini.
Sementara itu, Norhisham yang dikenali sebagai Ayu berkata, mereka sentiasa mengikuti perkembangan sejak kes ini mula-mula disebut awal tahun ini.
Katanya, walaupun perjalanan kes ini masih jauh, mereka akan tetap berjuang demi menuntut keadilan buat arwah adiknya.
Sementara itu, peguam pemerhati keluarga Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, Tun Laila Tun Rafaee berkata, arahan itu disifatkan berita baik buat anak guamnya selepas beberapa kali tertangguh.
Beliau berkata, tindakan seterusnya ialah pihaknya akan mengikuti perkembangan serta prosedur yang diputuskan oleh mahkamah tinggi.
“Selaku peguam pemerhati mewakili keluarga mangsa dan mereka tidak akan mengganggu sepanjang kes ini berlangsung.
“Kami akan mengikuti apa jua keputusan dibuat oleh mahkamah nanti. Kami dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bahawa tarikh sebutan baru dimaklumkan kemudian dan diberitahu Mahkamah Tinggi Muar nanti,” katanya selepas prosiding sebutan izin di Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Sumber – BERITA HARIAN