KKM terus pantau kes COVID-19 susulan peningkatan kes di Singapura
Oleh – Syeikh Baran
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau situasi COVID-19 di negara ini susulan gelombang jangkitan terbaru di Singapura yang menunjukkan peningkatan dua kali ganda kes di republik berkenaan.
KKM kini meningkatkan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes di negara ini yang mana sebanyak 1,230 kes COVID-19 dilaporkan pada 12 Mei hingga 18 Mei lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak 14.8 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan sejak 25 April manakala jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada minggu ke-20 menunjukan peningkatan berbanding minggu sebelumnya tetapi tidak membebankan kapasiti hospital iaitu daripada 0.08 peratus kepada 0.10 peratus,” menurut kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan yang sama menyatakan pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU), menurun daripada 0.17 peratus kepada 0.04 peratus.
Sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya.
“Terdapat satu kes K.P.2.1 dan satu kes KP.1.1 dilaporkan sejak Mac 2024. Kedua-dua varian KP.2.1 dan KP.1.1 adalah sebahagian daripada keluarga Omicron. Secara khususnya, mereka adalah sublineage daripada JN.1.11.1.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan KP.2 sebagai Currently Circulating Variant Under Monitoring (VUM) pada 3 Mei 2024.
“Namun, kemasukan varian ini tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti,” katanya.
KKM menjelaskan virus COVID-19 akan terus berada dalam komuniti dan rakyat perlu berwaspada menghadapinya.
“Orang ramai dinasihatkan untuk memperkasakan diri bagi menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkan kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN