‘Kami rancang masak di tempat lain namun penuh’

Oleh – Syeikh Baran


‘Kami rancang masak di tempat lain namun penuh’
TIGA daripada empat tertuduh ketika berada di pekarangan Mahkamah Bentong hari ini.

Tertuduh lelaki dalam kes memasak mi segera menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak di Genting Highlands memberitahu Mahkamah Majistret, di sini hari ini bahawa mereka merancang untuk memasak di tempat lain namun lokasi tersebut sudah penuh.

Terdahulu, seorang ejen hartanah, Nur Azira Azman, 23; peniaga kedai makan, Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24; pegawai khidmat pelanggan, Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, 24, dan pembantu pergigian, Nur Anis Salleh, 24, dituduh di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.



Mengikut kertas pertuduhan kesemua tertuduh bersama-sama dalam mencapai niat bersama kira-kira pukul 1.30 pagi, pada 12 Mei lalu 1.30 pagi telah bertindak memasak menggunakan dapur sebuah gas di dalam kawasan stesen minyak di Genting Highlands.

Perbuatan tersebut disifatkan sebagai gopoh kerana telah membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain dan dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama.

Pada prosiding tersebut, Nadhratun Naiem mempersoalkan tindakan yang dilakukan tertuduh tersebut sebelum Fadhli Zil Ikram mengakui kesilapan tersebut dan memberitahu mahkamah pada awalnya mereka merancang untuk memasak di tempat lain namun sudah penuh.

Justeru itu, mereka bertindak memasak di kawasan stesen minyak berkenaan dan beranggapan tempat mereka memasak itu adalah jauh dari ‘nozel’ minyak dan ia berada di laluan ke tandas.



Sementara tertuduh kedua, Nur Fatin berkata perbuatan tersebut adalah secara rawak kerana mereka telah lapar tanpa memikirkan bahaya yang timbul di kawasan stesen minyak berkenaan.

Kesemua tertuduh yang berasal dari Melaka kemudiannya dikenakan hukuman denda RM500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button