Lelaki pukul bekas isteri cemburu berhias diri keluar rumah

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki pukul bekas isteri cemburu berhias diri keluar rumah
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

Seorang penganggur didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya kerana cemburu wanita itu berhias diri ketika keluar rumah, minggu lalu.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Nazri Zainal, 28, yang membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.



Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menumbuk pipi bekas isterinya, Nur Izati Mohd. Fadzir, 25, pada pukul 8.21 malam di sebuah rumah bernombor di Kondo Beverly Hills A Famosa Resort, Simpang Empat dalam daerah Alor Gajah, 15 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan mangsa telah bercerai sejak dua tahun lalu namun menumpang tinggal di rumah wanita terbabit sejak 31 Mac 2024.

Mangsa membenarkan tertuduh menumpang selepas kasihan melihat keadaan bekas suaminya itu yang tidak bekerja.

Tertuduh bagaimanapun bertindak mencederakannya selepas cemburu melihat dia berpakaian cantik ketika hendak keluar rumah.



Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan hukuman yang setimpal dikenakan terhadal tertuduh dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button