Dua anak Sarjan Faridah tak percaya ibu sudah tiada

Oleh – Syeikh Baran


Dua anak Sarjan Faridah tak percaya ibu sudah tiada
Noor Azmi Ariffin (kiri) di samping anak dan ibu bapa mentuanya

Dua anak kepada anggota Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11), Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia kelmarin sering bertanya tentang ibu mereka sejak perkhabaran berita sedih dari Lubnan itu.

Menurut suami Allahyarham, Noor Azmi Ariffin, 39, anak ketiga dan keempat mereka kelihatan sangat merindui ibu mereka dengan pertanyaan tersebut sehingga terpaksa ditenangkan oleh keluarga.



“Anak sulung kami, Nurul Syifa, 13, dan Muhammad Afnan, 10, mungkin faham dengan apa yang berlaku kepada ummi mereka walaupun hari pertama semalam mereka sangat sedih dan menangis.

“Tetapi anak ketiga dan keempat, Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4, yang asyik bertanya, Di mana ummi (ibu)? Apabila kami beritahu ummi sudah tak ada (meninggal dunia). Mereka kata, tipu, ummi pergi kerja, naik kapal terbang,” kata pesara tentera itu ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham di Kampung Sungai Mati, Tobiar di sini semalam.

Menurut bekas anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) itu, buat sementara waktu ini keempat-empat anaknya itu akan dijaga oleh keluarga arwah sehingga emosi mereka stabil.

“Sejak arwah pergi ke Lubnan, kami berpindah ke sini kerana anak-anak sangat rapat dengan keluarga mentua malah mereka memanggil mak kepada mak mentua saya. Lagipun rumah keluarga saya tidak jauh dari sini di Titi Idris sahaja,” katanya.



Mengimbas tentang kenangan terakhir bersama arwah, kata Noor Azmi, isterinya dikatakan sangat gembira menghabiskan percutiannya di kampung selama sebulan.

“Arwah nampak seronok dan ceria sahaja. Itu sebabnya kami semua terkilan tetapi saya dapat rasa kelainan apabila arwah banyak beli barang untuk anak-anaknya seperti mainan dan pakaian.

“Malah sehingga hari terakhir sebelum berlepas arwah masih sempat membeli mainan kepada anak kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dia pergi mengejut mulanya saya pun macam tidak percaya sahaja bila dapat berita kematiannya,” katanya.

Bercerita tentang perkembangan jenazah Allahyarham Faridah, kata Noor Azmi, keluarganya dimaklumkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jenazah isterinya itu dijangka dibawa pulang seawal Rabu ini.



“Hari Rabu, itu paling awal kata mereka. Kami berharap semua berjalan lancar agar arwah boleh disemadikan secepat mungkin di Masjid Tualang,” katanya.

Sementara itu, menurut ibu Allahyarham Faridah, Salmah Hassan, 57, jenazah akan dikebumikan bersebelahan kubur adiknya, Muhammad Farihan, 24, yang meninggal dunia akibat asma pada 2013.

“Dua anak makcik sudah tiada sekarang tinggal dua sahaja. Sekarang anak-anak Allahyarham menjadi pengubat rindu. Arwah seorang yang sangat rajin, bertanggungjawab dan baik hati. Arwah memilih untuk Lubnan sebab nak bantu keluarga juga,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button