Istiwa A’dzam 27 Mei, umat Islam boleh semak ketepatan kiblat
Oleh – Syeikh Baran
Umat Islam di negara ini berpeluang menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing susulan fenomena Istiwa A’dzam yang akan berlaku pada Isnin 27 Mei pukul 5.18 petang waktu Malaysia.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, Istiwa A’dzam ialah kedudukan Matahari tepat berada di atas Kaabah, yang mana ia berlaku dua kali dalam setahun.
“Kita boleh menyemak arah kiblat dengan menggunakan objek-objek tegak dan lurus sebagai alat pengukur bayang-bayang objek.
“Pastikan cuaca dalam keadaan baik (tidak mendung/hujan) supaya bayang-bayang objek jelas kelihatan dan mudah untuk ditanda,” menurutnya pada hantaran Facebook hari ini.
Kaedah semakan tersebut boleh merujuk kepada infografik yang disediakan dan pastikan waktu yang dirujuk diselaraskan dengan waktu sirim (mst.sirim.my).
“Selesai membuat penandaan arah kiblat, maka bolehlah menyemak semula arah kiblat yang sedia ada atau membuat semakan arah kiblat di aplikasi telefon pintar masing-masing.
“Tertakluk kepada keadaan fungsi sistem GPS di telefon dan gangguan magnet sekitarnya,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE