62 rumah di 3 kampung di Melaka terjejas akibat banjir kilat

Oleh – Syeikh Baran


62 rumah di 3 kampung di Melaka terjejas akibat banjir kilat
Anggota APM Alor Gajah memeriksa kediaman penduduk yang dilanda banjir di Bukit Balai, Durian Tunggal- Foto Ihsan APM Alor Gajah.

Sebanyak 62 rumah penduduk di Kampung Pengkalan Batu, Kampung Bachang Darat dan Kampung Peringgit di sini, terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, banjir melanda akibat hujan berterusan sejak jam 5 pagi tadi.



“Sebanyak 55 rumah terjejas di Kampung Pengkalan Batu, diikuti lima di Kampung Peringgit dan dua di Kampung Bachang Darat.

“Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara dibuka dan pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, banjir kilat turut melanda Duyong dan Kampung Sungai Putat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, pemantauan pihaknya di kawasan Sungai Putat mendapati, limpahan air hujan dari sungai berlaku disebabkan pintu empangan tidak dibuka.



“Selepas JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) membuka pintu empangan, keadaan air mula surut, keadaan terkawal dan tiada mangsa dipindahkan,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button