Simpan dadah dalam kereta buruk
Oleh – Syeikh Baran
Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan dua kenderaan buruk sebagai tempat simpanan terbongkar apabila dua lelaki ditahan menerusi empat serbuan berasingan yang dijalankan Polis Johor di bandar raya ini antara 16 hingga 20 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kedua-dua mereka yang ditahan berusia 35 dan 36 tahun.
Katanya, seorang suspek positif dadah manakala kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan juga jenayah.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan dua kenderaan buruk dengan salah satunya diletakkan di lorong belakang rumah untuk menyimpan dadah.
“Suspek kemudian akan ke kereta tersebut untuk mengambil dadah sebelum diedarkan kepada pasaran, dan sindiket ini juga sudah mempunyai pembeli sedia ada.
“Namun ketika serbuan dijalankan, lebih daripada 13.8kilogram (kg) dadah disimpan dalam dua kenderaan itu,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, siasatan awal dibuat pihaknya mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak Mac tahun ini, dengan kita percaya terdapat saki baki ahli sindiket yang masih bebas.
Sumer – KOSMO! ONLINE