Lelaki didenda RM4,800, cederakan wanita kerana enggan ‘berkawan’ di media sosial

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki didenda RM4,800, cederakan wanita kerana enggan 'berkawan' di media sosial
Muhammad Latiff Daud (baju oren) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku pulas dan ugut tangan wanita. FOTO Alias Abd Rani

“Boleh kurangkan lagi tak denda?” Demikian kata seorang pembantu kedai makan yang didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan mencederakan dan ugutan jenayah terhadap dua pekerja kedai serbaneka, Isnin lalu.

Muhammad Latiff Daud Osman, 27, yang berdepan dua pertuduhan termasuk memulas tangan seorang wanita kerana menyekatnya di media sosial itu membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.



Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa berusia 24 tahun dalam kejadian di Taman Orchid Height di sini, pada 6.40 petang, 20 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa cuba menakutkan secara jenayah dengan mengugut seorang lagi wanita berusia 21 tahun dengan kata-kata ‘kau tunggu jangan sampai aku tetak kau’ di tempat kejadian, waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke tempat kerja mangsa kerana marah wanita itu menyekat untuk menjadi kenalan di media sosial.

Pertemuan itu tercetusnya perang mulut dengan tertuduh menarik dan terus memulas tangan mangsa.

Rakan mangsa melihat kejadian itu cuba meleraikan sebaliknya dia diugut oleh tertuduh.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan menerima rawatan manakala rakannya mengalami ketakutan akibat ugutan tetak terhadapnya.



Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM1,800 untuk pertuduhan kedua.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan tertuduh boleh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button