Kondomium pusat simpan serbuk, jus MDMA RM33.65 juta

Oleh – Syeikh Baran


Kondomium pusat simpan serbuk, jus MDMA RM33.65 juta
Khaw (tengah) menunjukkan pek jus MDMA yang dirampas dari sebuah kondominium Ahad lalu. KOSMO!/SYAKIR RADIN

Dua lelaki tempatan selaku pekerja pembungkusan dan penghantar serbuk serta jus dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) sekitar Lembah Klang serta Sabah dan Sarawak dipercayai menerima bayaran sekurang-kurangnya RM3,00 sebulan.

Aktiviti sindiket yang menyimpan dadah seberat 213.4 kilogram (kg) bernilai RM33.65 juta tersebut berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila serbuan dijalankan di sebuah kondominium sekitar Sentul, di sini, pada Ahad lalu.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dua suspek berusia 30-an ditahan Pasukan Khas JSJN Bukit Aman pada pukul 3.50 petang Ahad kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah yang dikesan aktif sejak awal tahun ini.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sebanyak 13 bekas plastik lutsinar berisi serbuk warna ungu dadah MDMA (199.7 kg), 499 pek plastik hijau berisi serbuk jus MDMA (13.68 kg). Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggar boleh digunakan oleh seramai 700,000 penagih dadah.

“Kita percaya bahawa satu kilogram dadah yang dirampas bernilai RM167,000 di pasaran. Bagi satu pek kita anggarkan ia bernilai RM300 hingga RM600 mengikut perisa.

“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini adalah dengan menyewa kondominium RM2,000 sebulan untuk dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di pusat hiburan di sekitar Lembah Klang serta Sabah dan Sarawak,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.



Mengulas lanjut mengenai sindiket dadah berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat ahli sindiket lain yang masih bebas sekaligus menegaskan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu.

“Mereka ini dipercayai akan menghantar pesanan ke kawasan diminta pelanggan selepas berkomunikasi melalui aplikasi media sosial. Ada juga yang merupakan pelanggan tetap mereka.

“Kedua-dua suspek adalah penganggur dan berperanan sebagai penghantar serta pembungkus dadah dengan bayaran RM3,000 sebulan.

“Suspek B1, 33, dan B2, 32, didapati negatif dadah namun masing-masing mempunyai sebanyak 10 rekod lampau termasuk kes dadah,” jelasnya.



Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 2 Jun depan bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya mengenai kebarangkalian sumber bekalan dadah terbabit diperoleh daripada Segitiga Emas, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu susulan pihaknya masih menjalankan siasatan lebih terperinci.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button