Pemandu kren maut dipanah petir
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pemandu kren ditemui mati dipercayai akibat dipanah petir dalam kejadian di pondok rehat berhadapan rumahnya di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar di sini, semalam.
Mangsa, Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya kira-kira pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 9.45 malam semasa hujan lebat dan petir.
Katanya, ketika kejadian mangsa tidur seorang diri di atas buaian sebelum isterinya yang berusia 31 tahun bersama abang dan seorang rakan mangsa datang untuk mengejutkannya.
“Bagaimanapun, mangsa didapati tidak sedarkan diri dan terus di bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah terhadap mangsa dalam kejadian itu dan mangsa juga tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
“Siasatan di tempat kejadian juga menemukan kesan terbakar pada bahagian kayu yang menggantung buaian dan wayar elektrik telah terputus.
“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan terbakar pada mangsa berpunca daripada panahan petir dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE