Tiga anggota Kastam didakwa terima suapan lepaskan lori barangan tanpa diperiksa

Oleh – Syeikh Baran


Tiga anggota Kastam didakwa terima suapan lepaskan lori barangan tanpa diperiksa
KUALA LUMPUR – Tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

Tiga anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Ops Samba 2.0, didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan mencecah RM17,500 untuk melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan.

Shaharudin Suboh, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin atas 22 pertuduhan dan Alizan Wahid, 43, yang berdepan empat pertuduhan juga membuat pengakuan sama manakala Ismail Idris, 49, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.



Berdasarkan 22 pertuduhan, Shaharudin didakwa memperoleh suapan wang berjumlah RM13,600 daripada seorang lelaki yang merupakan pemilik syarikat barangan import dan logistik.

Tertuduh yang ketika itu Pembantu Kastam Gred WK22 yang bertugas di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memperoleh wang itu melalui pemindahan dalam talian daripada akaun Maybank milik lelaki tersebut ke akaun Maybank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori milik syarikat berkenaan yang membawa keluar barang dari kargo KLIA, yang mana kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Cawangan Bukit Damansara di sini, antara 30 Ogos 2017 dan 11 Julai 2023.

Alizan pula berdepan empat pertuduhan iaitu sebagai Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 didakwa memperoleh suapan berjumlah RM17,500 daripada individu sama dan untuk tujuan serupa, yang mana kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Taman Setiawangsa di sini di antara 26 Mei 2018 dan 28 Disember 2018.



Sementara itu, Ismail didakwa atas enam pertuduhan iaitu sebagai Pembantu Penguasa Kastam Gred WK22 didakwa memperoleh suapan berjumlah RM5,200 daripada individu sama dan untuk tujuan serupa, yang mana kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Utama Kuala Lumpur di antara 17 November 2020 dan 19 September 2022.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Suzana membenarkan Shaharudin dan Alizan masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan kes Shaharudin pada 2 Julai manakala Alizan pada 10 Julai ini.



Azura yang menetapkan sebutan kes Ismail pada 2 Julai, membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan syarat tambahan yang sama.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala peguam Ridha Abdah Subri mewakili Alizan serta Ismail dan peguam Iqhmar Syafiq Mohd Azmi mewakili Shaharudin.

Setakat ini, seramai 16 anggota JKDM yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button