‘All eyes on Rafah’ dikongsi 44 juta kali
Oleh – Syeikh Baran
Satu imej janaan kepintaran buatan (AI) menampilkan slogan ‘All eyes on Rafah’ atau ‘semua mata tertumpu pada Rafah’ dikongsi dalam 44 juta akaun Instagram sejak Isnin lalu selepas serangan kejam Israel ke atas sebuah kem pelarian Palestin di bandar selatan Gaza itu.
Imej itu memaparkan deretan khemah sejauh mata memandang di sebuah gurun berlatarbelakangkan gunung-ganang. Ia secara tidak langsung merujuk kepada beratus-ratus ribu penduduk Palestin yang melarikan diri ke Rafah semasa kempen ketenteraan Israel terhadap Hamas.
Pelakon keturunan Chile-Amerika Syarikat, Pedro Pascal, model terkenal iaitu Bella dan Gigi Hadid serta bintang bola sepak Perancis, Ousmane Dembele merupakan antara selebriti yang berkongsinya di Instagram.
“Slogan All eyes on Rafah juga dikongsi secara meluas di penerbitan dan laman sosial lain khususnya X di mana tanda pagar #alleyesonrafah menarik hampir satu juta pengguna,” demikian menurut laman pemantauan online, Visibrain.
Platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter itu turut melihat 27.5 juta mesej disiarkan dalam masa tiga hari mengenai serangan ke atas Rafah yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Rafah adalah bandar paling selatan di Gaza dan terletak berhampiran sempadan Mesir.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan, serangan Israel terhadap kem pelarian di Rafah mencetuskan kebakaran besar pada Ahad lalu yang mengorbankan 45 orang dan 249 lagi cedera. – AFP
Sumber – KOSMO! ONLINE