Bas ekspres langgar belakang lori simen ada 38 rekod saman jalan raya
Oleh – Syeikh Baran
Bas ekspres membawa 25 penumpang yang melanggar belakang lori tangki muatan simen di Kilometer 290.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini, mempunyai 38 rekod saman terkumpul.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semakan juga mendapati pemandu bas berusia 38 tahun itu memiliki 15 rekod saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Katanya, daripada 15 rekod saman itu, dua daripadanya membabitkan kesalahan kemalangan.
“Kemalangan sekitar pukul 5.30 pagi itu berlaku ketika bas ekspres membawa 25 penumpang terbabit dalam perjalanan dari Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
“Tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori tangki muatan simen yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu bas dan sembilan penumpang berusia antara 13 hingga 60 tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu telah mengakibatkan aliran trafik sesak, namun tindakan pantas polis berjaya mengawal kesesakan di laluan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Saksi yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE