Didakwa paksa kenalan buat benda tidak senonoh dalam kereta

Oleh – Syeikh Baran


Didakwa paksa kenalan buat benda tidak senonoh dalam kereta
TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. – Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

Seorang pelajar institut kemahiran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan dan mencederakan kenalan perempuan yang baru sehari dikenali, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Akmal Nordin, 24, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.



Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang perempuan berusia 21 tahun dengan cara menarik mangsa memaksa untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 10 malam hingga 12.30 tengah malam di dalam sebuah kereta di kawasan Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah pada 15 April 2024.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Roslan menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.



Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia masih belajar dan akan dijamin bapanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,500 berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 16 Julai depan untuk serahan dokumen serta melantik peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button