Pemandu trak tunda maut, kereta dirempuh lori

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu trak tunda maut, kereta dirempuh lori
Anggota bomba sedang mengeluarkan mayat Muhammad Aliudin Khuzaimi yang maut selepas kereta Proton Satrianya dirempuh sebuah lori treler di KM 27, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Sentosa, Kuala Nerus hari ini.

Seorang pemandu trak tunda sambilan maut selepas kereta jenis Proton Satria dinaikinya dirempuh sebuah lori treler di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Sentosa di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 2.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Aliudin Khuzaimi Mohd. Saidi, 21, meninggal dunia akibat parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.



Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Aliudin Khuzaimi dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Belara di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Satria dinaikinya dikatakan telah dirempuh sebuah lori treler yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.

“Lori treler itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azli berkata, impak perlanggaran tersebut menyebabkan bahagian hadapan kereta Proton Satria remuk teruk manakala lori treler itu pula terbalik di bahu jalan.



Beliau berkata, pemandu lori treler yang berasal dari Jerteh, Besut hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di sebuah klinik berhampiran.

“Mayat mangsa (Muhammad Aliudin Khuzaimi) pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button