Pegawai kanan Kastam didakwa lupus sisik tenggiling tanpa prosedur betul

Oleh – Syeikh Baran


Pegawai kanan Kastam didakwa lupus sisik tenggiling tanpa prosedur betul
Ahmad Hilmi ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. – Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Seorang Penolong Kanan Pengarah Kastam II didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melupuskan sisik tenggiling tanpa menyerahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar Taman Negara (Perhilitan), lima tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Hilmi Ghazali, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.



Bapa kepada empat orang anak didakwa dengan curangnya telah menyebabkan seorang pembantu penguasa kastam kanan melupuskan sisik tenggiling jenis Genus Manis spp daripada stor penguatkuasaan Pangkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara yang merupakan barangan kes rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ia sepatutnya perlu diserahkan kepada Perhilitan sebagai pihak berkuasa pengurusan yang dilantik di bawah Seksyen 6 (1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Perbuatan itu dilakukan pada September hingga Disember 2019 di Klang seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid mencadangkan jaminan antara RM30, 000 hingga RM50,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.



“Jumlah jaminan itu disebabkan ‘special case’ kerana melibatkan pelupusan sisik tenggiling yang merupakan haiwan terancam dan bernilai jutaan ringgit di pasaran gelap.

“Siasatan kes ini adalah apabila terdapat maklumat daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat dan agensi perisikan United Kingdom dan Hong Kong. Ini menunjukkan keseriusan kes ini,” katanya.

Peguam Nor Azri Mohd. Arif mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana di luar kemampuan anak guamnya yang turut menanggung dua isteri dan empat anak berusia 12 hingga 20 tahun.

“Kebiasaannya apabila pegawai kerajaan dituduh di mahkamah berkemungkinan akan menerima separuh daripada gaji pokok iaitu RM6,000 selain mempunyai potongan bayaran ansuran tetap melibatkan rumah dan kenderaan.



“Justeru, dia hanya akan menerima pendapatan bersih kurang daripada RM500. Anak guam saya juga ketika ini bekerja di JKDM Pulau Pinang,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport, melaporkan diri di Pejabat SPRM Pulau Pinang serta tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi secara langsung atau tidak langsung.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Julai depan.

Media sebelum ini melaporkan, sisik tenggiling itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini sebagai transit sebelum dihantar ke China dan negara-negara lain yang mendapat permintaan tinggi.



Op Jaguar yang dilaksanakan SPRM pada pertengahan tahun lalu di Klang dan Kuala Lumpur menyaksikan rampasan hampir dua tan sisik haiwan itu yang dijual sehingga mencecah RM13,000 per kilo di pasaran gelap dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM23.4 juta.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button