‘Kantoi’ sejam isi diesel dalam lori ubah suai

Oleh – Syeikh Baran


‘Kantoi’ sejam isi diesel dalam lori ubah suai
Lori tangki yang dikesan menyeleweng diesel subsidi di stesen minyak sekitar Shah Alam.

Tindakan seorang pemandu lori tangki mengisi diesel selama hampir sejam membongkar cubaan menyeleweng minyak itu di sebuah stesen minyak di sekitar daerah ini, kelmarin.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai melakukan sebanyak 12 kali transaksi pembayaran untuk mengisi minyak di pam yang sama.



Perkara itu bagaimanapun dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor yang bertindak menyerbu premis itu dan menahan suspek dalam Ops Tiris 5.0, kira-kira pukul 1 tengah hari.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN negeri, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, serbuan dilakukan hasil tinjauan berkala pihaknya di kawasan ‘hotspot’ yang disyaki terlibat dengan penyelewengan diesel bersubsidi.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati lori itu diubah suai pada struktur badan bagi membuat pengisian bahan diesel yang dibeli di stesen minyak sama ada penyelewengan atau menjualnya demi mengaut keuntungan.

“Semakan ke atas cetakan resit yang dikeluarkan premis serbuan mengesan terdapat pengisian mencecah ribuan liter dilakukan.



“Kita kemudian mengeluarkan arahan pengisytiharan maklumat dan dokumen kepada pemandu lori serta stesen minyak tersebut,” katanya hari ini.

Menurut Mohd. Shahran, pihaknya menahan pemandu lori itu dan dua lelaki warga Bangladesh berusia 30-an yang juga pekerja stesen minyak itu bagi membantu siasatan.

“Anggaran keseluruhan bahan api itu mencecah 10,000 liter dengan nilai subsidi berjumlah puluhan ribu ringgit manakala jumlah keseluruhan sitaan hampir RM500,000,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button