Duit kenduri kahwin anak RM20,000 hangus dalam kebakaran

Oleh – Syeikh Baran


Duit kenduri kahwin anak RM20,000 hangus dalam kebakaran
Mohd. Razali (kanan) menunjukkan rumahnya yang hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Lundang, Kota Bharu hari ini. – Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

Seorang bekas guru hanya mampu berputih mata apabila tidak sempat menyelamatkan wang simpanan RM20,000 yang bakal digunakan untuk majlis perkahwinan anak pada September depan selepas tiga rumah di Kampung Lundang, di sini terbakar pagi tadi.

Mohd. Razali Yusoff, 67, berkata, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu turut memusnahkan wang simpanannya berjumlah RM12,000 dan barang kemas milik isteri lebih RM50,000.



Menurutnya, dia bergegas mengejutkan isteri, Masheran Ariffin, 57, selepas menyedari berlaku litar pintas yang mengakibatkan tercetusnya kebakaran sebelum terus mendukung cucunya yang berusia sembilan tahun untuk keluar dari rumah.

“Saya menyedari rumah terbakar apabila terasa bahang panas dari bilik sebelah selain terkena beberapa letupan kecil.

“Saya menjenguk keluar bilik dan melihat api sedang marak membakar keseluruhan rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran tiga buah rumah di di Kampung Lundang, Kota Bharu hari ini. – IHSAN BOMBA

Mohd. Razali memberitahu, kejadian itu turut menyebabkan dua kereta jenis Proton Preve dan Proton Persona dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, selain mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas semua harta bendanya musnah.



Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Ramli Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.15 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tiga buah rumah,

Katanya, seorang wanita yang berusia 36 tahun turut dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas terkena renjatan elektrik.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 4.45 pagi dengan melibatkan anggota dari Balai Bomba Pengkalan Chepa , Kota Bharu dan Darul Naim,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button